Tuesday 10 January 2012

Sekolah Lestari Anugerah Alam Sekitar

Selamat datang ke blog Sekolah Lestari Anugerah Alam Sekitar Sekolah Menengah Teknik Muadzam Shah (SMTMS) . Laman blog ini dibina khas sempena pemilihan sebagai calon Sekolah Lestari Anugerah Alam Sekitar. SMTMS merupakan salah sebuah daripada empat buah sekolah di Rompin yang terpilih dalam pertandingan peringkat kebangsaan.

Mesyuarat pertama pada 5 Januari 2012 telah melantik Jawatankuasa Sekolah Lestari - Anugerah Alam Sekitar dan semenjak itu proses melestarikan sekolah terus dijalankan. Semua ahli jawatankuasa telah menyiapkan pelan operasi masing dan semua telah menunjukkan komitmen yang tidak berbelah bagi untuk projek ini.

Program Sekolah Lestari Anugerah Alam Sekitar adalah program kerjasama di antara Jabatan Alam Sekitar, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Jabatan Sekolah, Kementerian Pelajaran Malaysia serta Institusi Alam Se kitar dan Pembangunan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang telah dilancarkan pada 27 Januari 2005.

Terdapat empat (4) komponen utama yang ditekankan dalam program ini iaitu pengurusan, penghijauan, kokurikulum dan kurikulum. Secara dasarnya program ini merupakan payung kepada semua aktiviti -aktiviti berasaskan alam sekitar di sekolah seperti Projek Riadah Alam Sekitar (PRIAS), Projek Wira Alam, Program Eco -Youth, Program RE & EE (Renewable Energy & Energy Efficiency), Program Keceriaan Taman, Program 3K (Keselamatan, Kebersihan dan Keindahan), Program KitS (Kitar Semula), Kem Kesedaran Alam Sekitar dan aktiviti -aktiviti alam sekitar yang lain. Program ini bertujuan untuk membantu sekolah memperkukuhkan program -program pendidikan alam sekitar yang sedia ada. Program ini juga berkonsepkan pendekatan menyeluruh yang melibatkan semua lapisan warga sekolah bersama keluarga, komuniti setempat, kerajaan, pihak swasta dan badan bukan kerajaan.

Harapan kami semua, semoga projek ini dapat berjalan lancar dan dipermudahkan oleh Allah S.W.T dalam setiap urusan. Kerjasama semua pihak adalah penting bagi menjayakan program yang besar ini.

No comments:

Post a Comment